Minggu
ini saya ingin membicarakan suatu bahan bicara yang mungkin sekali sekala di
sentuh di dalam Gereja atau dalam sesebuah institusi keluarga orang Kristian.
Setiap institusi
kekeluargaan mempunyai suatu visi dan tujuan yang khusus lebih-lebih lagi dalam
soal pendidikan anak-anak. Pendidikan secara formal di zaman ini sangat penting
oleh kerana tanpa pendidikan yang teratur dan sempurna sukar untuk hidup di
dalam dunia serba moden. Sungguhpun kita tidak menafikan Tuhan adalah sumber
segala sesuatu tetapi kita masih hidup bertapak di dunia dan terikat dengan
sistem dunia maka pendidikan adalah suatu panggilan yang murni dari Tuhan yang
harus setiap kita lalui dengan baik.
Perkara
pokok yang saya ingin kongsikan selain daripada sesebuah keluarga memenuhi
tuntutan persekolahan yang menekan seperti menghantar anak kelas tambahan dan
ada kalangan keluarga sanggup bebelanja besar bagi membeli buku-buku rujukun
malah menghantar anak ke kelas tuisyen. Tujuan ini semua adalah untuk kemajuan
persekolahan anak masing-masing.
Namun
demikian, dalam pemerhatian saya ada satu lagi aspek yang harus atau sama
penting iaitu pendidikan Alkitab kepada anak-anak.
Saya
belum pernah terjumpa satupun pusat atau kelas tuisyen yang dibuka bagi
anak-anak orang Kristian belajar Alkitab. Kebanyakan keluarga hanya bergantung
semata-mata kepada sekolah minggu iaitu sejam sekali di dalam kebaktian gereja.
Atau mungkin ibubapa tidak sanggup mengeluarkan sedikit belanja membiayai
anak-anak mereka belajar kepada firman Tuhan. Atau pendapat umum pendidikan
Alkitab harus diberikan secara percuma di gereja dan mereka meletakkan
kebangunan iman anak-anak mereka di atas bahu pihak Gereja semata-mata. Wajarkah
pendapat itu?
Ibubapa
orang Kristian sanggup bebelanja besar untuk kemajuan anak-anak mereka di
sekolah, kolej mahupun university dan ini bagi saya niat dan tujuan itu tidak
sama sekali salah. Namun saya cuba memperkatakan satu lagi pendidikan yang sama
pentingnya dengan kemajuan persekolahan iaitu pengetahuan mengenai firman
Tuhan. Sebab Tuhan mengatakan ‘manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja
melainkan firman yang keluar dari Tuhan – Matius 4:4’ dan 2 Timoti 3:16
‘Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk
menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam
kebenaran’
Sudah
sampai masanya, setiap institusi kekeluargaan bertindak dengan pelbagai masalah
sosial remaja sekarang ini dan salah satu puncanya kurang didikan kepada
Alkitab yang secara sistematik dan sempurna. Kegiatan permurtadan dalam
kalangan pelajar Kristian di sekolah, kolej dan universiti semakin meruncing
oleh kerana segelintir daripada mereka tidak mempunyai dasar iman yang kukuh
dan mudah di pengaruhi oleh kerana tiada kebenaran dalam hati mereka yang ada
cuma ritual atau aktiviti gereja yang harus di penuhi.
0 comments:
Post a Comment